Wednesday 12 August 2015

Venir Pergigian ~ Mencipta Senyuman Anggun



Apa Itu Venir Pergigian


  • Adalah satu cara konservatif bagi memperbaiki, mencantikkan gigi atau melindungi permukaan gigi yang rosak
  • Selapisan nipis bahan tampalan komposit atau porselin akan dilekatkan kepada permukaan gigi

Kelebihan Rawatan Venir Pergigian


  • Prosedur ini hanya memerlukan pengikisan 0.5mm lapisan enamel sahaja
  • Tidak memerlukan penggunaan ubat bius setempat
  • Penggunaan bahan seramik seperti kaca dan kelihatan seakan-akan gigi asli


Bilakah Rawatan Venir Pergigian Sesuai Dilakukan?


Venir pergigian digunakan untuk rawatan kosmetik kepada beberapa masalah pergigian seperti :

Merawat gigi yang terserpih atau merekah

Menukar warna gigi kepada yang lebih cerah

Menutup ruangan antara gigi


Memperbaiki bentuk gigi dan penjajaran gigi

Memperbaiki kedudukan gigi yang sedikit tidak teratur

Membetulkan saiz gigi supaya kelihatan normal

Penjagaan Kesihatan Pergigian Selepas Rawatan Venir

  • Memberus gigi 2 kali sehari
  • Memflos gigi sekurang-kurangnya sekali sehari
  • Elakkan menggigit benda keras menggunakan gigi yang mempunyai venir
  • Dapatkan pemeriksaan gigi berkala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.




Sumber :
Pamplet 'Venir Pergigian'
Bahagian Kesihatan Pergigian
Kementerikan Kesihatan Malaysia

Wednesday 22 July 2015

Rawatan Kecemasan Gigi Tertanggal

Kerapkali kita berdepan dengan situasi di mana kemalangan kecil berlaku yang menyebabkan gigi kekal tercabut dari soket. Perkara begini sering berlaku terutamanya di sekolah ketika bersukan. 

Jika ia berlaku, ikuti langkah-langkah yang dipaparkan dalam infografik berikut bagi memastikan  gigi tersebut dapat diselamatkan.

(Sila click infografik di bawah utk resolusi yang lebih jelas)


Wednesday 6 May 2015

Kesihatan Pergigian Kanak-kanak : Penjagaan Kesihatan Pergigian

Penjagaan kesihatan pergigian yang baik boleh dipupuk dengan amalan berikut :

1. Menjaga kebersihan mulut dan gigi

Gunakan tuala yang bersih dan lembut untuk
membersih gigi anak anda setiap kali selepas
 makan atau menyusu

Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak-anak
mereka yang berumur di bawah 6 atahun

Gunakan ubat gigi berfluorida tidak lebih
dari sebesar biji kacang soya

2. Berilah anak air masak kosong di antara waktu menyusu

3. Latih anak minum menggunakan cawan sebaik sahaja gigi susu mula tumbuh


4. Hentikan penggunaan botol dengan cara berperingkat

5. Bawa anak untuk pemeriksaan pergigian apabila berumur 1-3 tahun. 
Pemeriksaan pergigian secara berkala adalah penting bagi mendapatkan nasihat dan rawatan pencegahan. Sebarang masalah pergigian juga dapat dirawat pada peringkat awal.

Biasakan anak anda dengan anggota beruniform yang
bertugas dan bilik rawatan.


Wednesday 22 April 2015

Kesihatan Pergigian Kanak-kanak : Karies Awal Di Kalangan Kanak-kanak

Karies Awal Kanak-kanak

Kerosakan gigi di peringkat awal kanak-kanak adalah kerosakan gigi yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Ia juga dikenali sebagai karies awal kanak-kanak atau gigi berlubang melibtakan satu  atau lebih batang gigi.

Peringkat Kejadian Karies Awal Kanak-kanak

Karies awal di kalangan kanak-kanak merupakan pereputan gigi pada kanak-kanak berpunca daripada amalan penyusuan yang kurang baik seperti membiarkan anak tidur sambil menghisap susu, jus atau minuman manis daripada botol.

Apabila anak tidur sambil menghisap minuman tersebut dari botol, minuman tersebut akan berkumpul di dalam mulut terutamanya pada permukaan gigi hadapan sepanjang waktu tidur mereka. Tindak balas di antara bakteria yang berada dalam mulut dan minuman tersebut akan menyebabkan gigi rosak.

*Gambar sekadar hiasan


Apakah Akibat Kerosakan Gigi Pada Kanak-kanak


Gigi yang rosak jika dibiarkan boleh mengakibatkan :
  • Kesakitan
  • Bengkak pada gusi / pipi / muka
  • Kesukaran mengunyah makanan / menyusu
  • Tumbesaran terganggu
  • Masalah pertuturan
  • Masalah emosi
Contoh kanak-kanak yang mengalami bengkak
pada pipi kerana karies gigi


Wednesday 8 April 2015

Kesihatan Pergigian Kanak-kanak : Pertumbuhan Gigi Susu

Bilakah Gigi Susu Mula Tumbuh?


Gigi susu yang pertama (gigi kacip rahang bawah) akan tumbuh ketika anak berusia antara 6-10 bulan. Gigi susu yang terakhir (gigi geraham kedua rahang atas) akan tumbuh sekitar usia anak 25-33 bulan.

Set gigi susu lengkap apabila anak berusia lebih kurang dua tahun enam bulan.

Apabila gigi susu tanggal pada waktu yang betul, ia akan digantikan dengan gigi kekal. 

Jadual Pertumbuhan Gigi Susu

Ilustrasi Kronologi Pertumbuhan Gigi Susu
(kebiasaannya gigi di rahang bawah akan tumbuh lebih awal daripada gigi rahang atas)



Dalam proses pertumbuhan gigi, anak anda mungkin :
  • menangis kerana tidak selesa
  • suka menggigit
  • melelehkan air liur
  • demam

Sekiranya anak anda mengalami masalah di atas, anda boleh :
  • mengurut gusi yang membengkak dengan jari atau tuala bersih
  • memberi anak sesuatu yang selamat dan bersih untuk digigit seperti 'teething ring'
  • menyapu sedikit ubat gel penahan sakit (teething gel)
  • membawa anak ke klinik jika anak demam 

Contoh 'teething ring'

Teething Gel


Sumber
Booklet 'Si Comel dan Kesihatan Pergigian' BKPKKM


Wednesday 18 March 2015

Kesihatan Pergigian Kanak-kanak : Fungsi Gigi Susu


Pembentukan gigi bermula seawal dari dalam rahim lagi pada usia janin enam minggu. Makan secara sihat adalah penting untuk kesihatan ibu dan pertumbuhan sempurna gigi dan tulang anak.

Setelah bayi lahir, gigi susu yang akan tumbuh penting untuk tumbesaran dan pertuturan anak anda.


Fungsi Gigi


Walaupun gigi susu akan tanggal dan digantikan dengan gigi kekal, gigi susu tetap penting untuk :

Mengunyah makanan 

Jika gigi susu rosak, ia akan menyebabkan kanak-kanak tersebut sukar untuk makan kerana sakit atau rongak. Ini boleh menyebabkan mereka kekurangan zat dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan untuk tumbesaran yang sihat. 


 

Pertuturan

Posisi gigi pada rahang membantu kanak-kanak menyebut perkataan dengan jelas. Ini penting kerana pada peringkat inilah peringkat kanak-kanak belajar bertutur dengan baik.


 Menjadi panduan kepada gigi kekal supaya tumbuh dengan teratur

Gigi susu yang hilang terlalu awal boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh secara tidak teratur.


 Penampilan yang cantik

Gigi susu yang rosak boleh menyebabkan penampilan kanak-kanak kurang menarik dan mungkin dijadikan bahan ejekan oleh rakan-rakan, seterusnya menyebabkan perasaan rendah diri dan boleh mengganggu perkembangan psikososial kanak-kanak tersebut.


Sumber :
Booklet 'Si Comel dan Kesihatan Pergigian' BKPKKM

Wednesday 4 March 2015

Rawatan Ortodontik : Cara Penjagaan Aplians dan Kesihatan Pergigian Anda (Bahagian 2)



Cara Penjagaan Kebersihan Aplians Boleh Tanggal (removable appliance) / Aplians Fungsi (functional appliance) / Aplians Pemegang (retainer)

  1. Keluarkan aplians dari mulut terlebih dahulu.
  2. Bersihkan permukaan gigi menggunakan berus gigi dan ubat gigi berfluorida.
  3. Gunakan berus gigi dan ubat gigi untuk membersih semua bahagian aplians sehingga bersih.


Aplians Ortodontik Boleh Rosak?

Dawai mungkin patah dan terjulur keluar, plat patah sekiranya aplians tidak dijaga dengan baik.


Oleh Itu Pastikan Anda...

  • Tidak mengunyah makanan yang keras
  • Hindari pengambilan makanan yag melekit seperti dodol dan gula-gula getah
  • Elakkan minum minuman berkarbonat
  • Tidak mengamalkan tabiat menghisap jari atau menggigit kuku
  • Simpan aplians boleh tanggal di dalam bekas yang sesuai semasa tidak memakainya.
Bekas penyimpanan aplians boleh tanggal

Bekas penyimpanan aplians boleh tanggal

Dapatkan rawatan segera di klinik pergigian berhampiran sekiranya aplians anda rosak.

Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM

Wednesday 18 February 2015

Rawatan Ortodontik : Cara Penjagaan Aplians dan Kesihatan Pergigian Anda (Bahagian 1)


Cara Penjagaan Kebersihan Semasa Memakai Aplians Tetap (fixed appliance)

  1. Berus gigi anda sehingga bersih setiap kali selepas makan. Gunakan cermin muka untuk membantu.
  2. Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida dan berus gigi yang sesuai. Berus gigi khas untuk pengguna aplians tetap ortodontik juga boleh digunakan.
    Berus gigi khas untuk pengguna aplians ortodontik
  3. Letakkan berus gigi pada sudut 45' pada gusi dan beri tekanan yang lembut. Berus gigi dan gusi menggunakan pergerakan bulatan dengan perlahan.
  4. Pada permukaan mengunyah, pegang berus gigi mendatar dan beruskan ke luar dan ke dalam.
  5. Jangan lupa untuk memberus aplians ortodontik. Tekan bulu berus gigi dengan perlahan supaya masuk ke celah-celah gigi dan aplians ortodontik. Bersihkan kawasan di belakang dawai dan keliling braket.
  6. Berus gigi kecil yang khas (interdental brush) juga boleh digunakan untuk membantu membersihkan celah-celah gigi dan aplians ortodontik dengan lebih berkesan.
    Interdental brush

    Penggunaan interdental brush
  7. Flos juga perlu digunakan untuk membantu membersihkan permukaan gigi yang tidak dapat dibersihkan semasa memberus gigi. Flos khas (superfloss) dengan hujung yang keras boleh dimasukkan ke celah gigi dan aplians ortodontik. Gerakkan flos ke atas dan ke bawah beberapa kali dan lengkokkan keliling gigi dan leher gigi.
    Superfloss

    Penggunaan superfloss
     
Video demonstrasi tentang cara penggunaan interdental brush


 Video demonstrasi tentang cara penggunaan superfloss




Aplians Ortodontik Boleh Rosak?

Dawai mungkin patah dan terjulur keluar, atau braket longgar sekiranya aplians tidak dijaga dengan baik.


Oleh Itu Pastikan Anda...

  • Tidak mengunyah makanan yang keras
  • Hindari pengambilan makanan yag melekit seperti ddol dan gula-gula getah
  • Elakkan minum minuman berkarbonat
  • Tidak mengamalkan tabiat menghisap jari atau menggigit kuku
Dapatkan rawatan segera di klinik pergigian berhampiran sekiranya aplians anda rosak.

Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM
Olsen Orthodontics

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2015


Wednesday 4 February 2015

Rawatan Ortodontik : Kesan Buruk Pada Gigi Jika Kebersihan Tidak Dijaga Ketika Pemakaian Aplians


Cuba anda lihat ke dalam cermin muka. Anda akan dapati aplians ortodontik yang dipakai mempunyai braket dan dawai yang boleh menyebabkan makanan mudah melekat pada gigi.

Gusi anda akan mudah berdarah dan gigi anda akan rosak sekiranya kebersihan mulut diabaikan. 

Video di bawah menerangkan tentang kesan buruk pada gigi apabila kebersihan gigi tidak dijaga ketika menggunakan aplians ortodontik.


Untuk menghindari dari terjadinya kesan buruk ini kepada gigi dan gusi anda, anda perlulah menjaga kebersihan gigi dan aplians dengan sebaiknya sepanjang tempoh anda di dalam rawatan ortodontik. Untuk teknik penjagaan kebersihan gigi dan aplians dengan betul, sila rujuk post kami yang seterusnya.


Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik" terbitan BKP KKM

Wednesday 21 January 2015

Rawatan Ortodontik : Ketahui Jenis-jenis Aplians Ortodontik


Gigi yang tidak tersusun boleh dirawat dengan rawatan ortodontik. Terdapat beberapa jenis aplians ortodontik yang digunakan untuk tujuan tersebut :
  • Aplians Tetap 
  • Aplians Boleh Tanggal
  • Aplians Fungsi
  • Aplians Pemegang


APLIANS TETAP (fixed appliance)

Aplians tetap
  • Aplians ini dilekatkan pada permukaan gigi dan disambung dengan menggunakan dawai khas. 
  • Alat tambahan seperti gelung getah atau spring kadangkala digunakan.
  • Fungi aplians ini adalah untuk menggerakkan gigi.


APLIANS BOLEH TANGGAL (removable appliance)

Aplians boleh tanggal

Aplians boleh tanggal di dalam mulut
  • Aplians ini diperbuat daripada akrilik yang mempunyai cangkuk dawai.
  • Spring mungkin dilekatkan bersama alat ini untuk mengawal pergerakan gigi.
  • Aplians ini hendaklah dipakai sepanjang masa.
  • Aplians ini boleh ditanggalkan dari mulut apabila melakukan aktiviti seperti memberus gigi, berenang, makan atau bersukan.


APLIANS FUNGSI (functional appliance)

Aplians fungsi

Penggunaan aplians fungsi di dalam mulut
  • Aplians ini bertindak ke atas gigi di rahang atas dan gigi di rahang bawah secara serentak.
  • Ia digunakan untuk menggalakkan perkembangan tulang rahang dan membaiki gigitan.


APLIANS PEMEGANG (retainer)

Salah satu contoh aplians pemegang
Aplians pemegang

Penggunaan aplians pemegang di dalam mulut

  • Aplians ini biasanya digunakan di fasa akhir rawatan di mana ia berfungsi mengekalkan gigi pada kedudukan yang baru.
  • Gigi boleh berganjak. Oleh itu pemakaian aplians ini penting untuk mengawal dan menghadkan pergerakan gigi supaya gigi akan terus tersusun dengan baik.


Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM