Wednesday, 4 March 2015

Rawatan Ortodontik : Cara Penjagaan Aplians dan Kesihatan Pergigian Anda (Bahagian 2)



Cara Penjagaan Kebersihan Aplians Boleh Tanggal (removable appliance) / Aplians Fungsi (functional appliance) / Aplians Pemegang (retainer)

  1. Keluarkan aplians dari mulut terlebih dahulu.
  2. Bersihkan permukaan gigi menggunakan berus gigi dan ubat gigi berfluorida.
  3. Gunakan berus gigi dan ubat gigi untuk membersih semua bahagian aplians sehingga bersih.


Aplians Ortodontik Boleh Rosak?

Dawai mungkin patah dan terjulur keluar, plat patah sekiranya aplians tidak dijaga dengan baik.


Oleh Itu Pastikan Anda...

  • Tidak mengunyah makanan yang keras
  • Hindari pengambilan makanan yag melekit seperti dodol dan gula-gula getah
  • Elakkan minum minuman berkarbonat
  • Tidak mengamalkan tabiat menghisap jari atau menggigit kuku
  • Simpan aplians boleh tanggal di dalam bekas yang sesuai semasa tidak memakainya.
Bekas penyimpanan aplians boleh tanggal

Bekas penyimpanan aplians boleh tanggal

Dapatkan rawatan segera di klinik pergigian berhampiran sekiranya aplians anda rosak.

Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM

Wednesday, 18 February 2015

Rawatan Ortodontik : Cara Penjagaan Aplians dan Kesihatan Pergigian Anda (Bahagian 1)


Cara Penjagaan Kebersihan Semasa Memakai Aplians Tetap (fixed appliance)

  1. Berus gigi anda sehingga bersih setiap kali selepas makan. Gunakan cermin muka untuk membantu.
  2. Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida dan berus gigi yang sesuai. Berus gigi khas untuk pengguna aplians tetap ortodontik juga boleh digunakan.
    Berus gigi khas untuk pengguna aplians ortodontik
  3. Letakkan berus gigi pada sudut 45' pada gusi dan beri tekanan yang lembut. Berus gigi dan gusi menggunakan pergerakan bulatan dengan perlahan.
  4. Pada permukaan mengunyah, pegang berus gigi mendatar dan beruskan ke luar dan ke dalam.
  5. Jangan lupa untuk memberus aplians ortodontik. Tekan bulu berus gigi dengan perlahan supaya masuk ke celah-celah gigi dan aplians ortodontik. Bersihkan kawasan di belakang dawai dan keliling braket.
  6. Berus gigi kecil yang khas (interdental brush) juga boleh digunakan untuk membantu membersihkan celah-celah gigi dan aplians ortodontik dengan lebih berkesan.
    Interdental brush

    Penggunaan interdental brush
  7. Flos juga perlu digunakan untuk membantu membersihkan permukaan gigi yang tidak dapat dibersihkan semasa memberus gigi. Flos khas (superfloss) dengan hujung yang keras boleh dimasukkan ke celah gigi dan aplians ortodontik. Gerakkan flos ke atas dan ke bawah beberapa kali dan lengkokkan keliling gigi dan leher gigi.
    Superfloss

    Penggunaan superfloss
     
Video demonstrasi tentang cara penggunaan interdental brush


 Video demonstrasi tentang cara penggunaan superfloss




Aplians Ortodontik Boleh Rosak?

Dawai mungkin patah dan terjulur keluar, atau braket longgar sekiranya aplians tidak dijaga dengan baik.


Oleh Itu Pastikan Anda...

  • Tidak mengunyah makanan yang keras
  • Hindari pengambilan makanan yag melekit seperti ddol dan gula-gula getah
  • Elakkan minum minuman berkarbonat
  • Tidak mengamalkan tabiat menghisap jari atau menggigit kuku
Dapatkan rawatan segera di klinik pergigian berhampiran sekiranya aplians anda rosak.

Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM
Olsen Orthodontics

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2015


Wednesday, 4 February 2015

Rawatan Ortodontik : Kesan Buruk Pada Gigi Jika Kebersihan Tidak Dijaga Ketika Pemakaian Aplians


Cuba anda lihat ke dalam cermin muka. Anda akan dapati aplians ortodontik yang dipakai mempunyai braket dan dawai yang boleh menyebabkan makanan mudah melekat pada gigi.

Gusi anda akan mudah berdarah dan gigi anda akan rosak sekiranya kebersihan mulut diabaikan. 

Video di bawah menerangkan tentang kesan buruk pada gigi apabila kebersihan gigi tidak dijaga ketika menggunakan aplians ortodontik.


Untuk menghindari dari terjadinya kesan buruk ini kepada gigi dan gusi anda, anda perlulah menjaga kebersihan gigi dan aplians dengan sebaiknya sepanjang tempoh anda di dalam rawatan ortodontik. Untuk teknik penjagaan kebersihan gigi dan aplians dengan betul, sila rujuk post kami yang seterusnya.


Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik" terbitan BKP KKM

Wednesday, 21 January 2015

Rawatan Ortodontik : Ketahui Jenis-jenis Aplians Ortodontik


Gigi yang tidak tersusun boleh dirawat dengan rawatan ortodontik. Terdapat beberapa jenis aplians ortodontik yang digunakan untuk tujuan tersebut :
  • Aplians Tetap 
  • Aplians Boleh Tanggal
  • Aplians Fungsi
  • Aplians Pemegang


APLIANS TETAP (fixed appliance)

Aplians tetap
  • Aplians ini dilekatkan pada permukaan gigi dan disambung dengan menggunakan dawai khas. 
  • Alat tambahan seperti gelung getah atau spring kadangkala digunakan.
  • Fungi aplians ini adalah untuk menggerakkan gigi.


APLIANS BOLEH TANGGAL (removable appliance)

Aplians boleh tanggal

Aplians boleh tanggal di dalam mulut
  • Aplians ini diperbuat daripada akrilik yang mempunyai cangkuk dawai.
  • Spring mungkin dilekatkan bersama alat ini untuk mengawal pergerakan gigi.
  • Aplians ini hendaklah dipakai sepanjang masa.
  • Aplians ini boleh ditanggalkan dari mulut apabila melakukan aktiviti seperti memberus gigi, berenang, makan atau bersukan.


APLIANS FUNGSI (functional appliance)

Aplians fungsi

Penggunaan aplians fungsi di dalam mulut
  • Aplians ini bertindak ke atas gigi di rahang atas dan gigi di rahang bawah secara serentak.
  • Ia digunakan untuk menggalakkan perkembangan tulang rahang dan membaiki gigitan.


APLIANS PEMEGANG (retainer)

Salah satu contoh aplians pemegang
Aplians pemegang

Penggunaan aplians pemegang di dalam mulut

  • Aplians ini biasanya digunakan di fasa akhir rawatan di mana ia berfungsi mengekalkan gigi pada kedudukan yang baru.
  • Gigi boleh berganjak. Oleh itu pemakaian aplians ini penting untuk mengawal dan menghadkan pergerakan gigi supaya gigi akan terus tersusun dengan baik.


Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM

Wednesday, 7 January 2015

Rawatan Ortodontik : Menyusun Gigi Menjadi Lebih Teratur


Apa Itu Rawatan Ortodontik

Rawatan ortodontik adalah rawatan untuk merawat masalah gigi yang bertindih, terpusing, terkeluar mencucuk bibir atau jongang supaya susunan gigi lebih teratur

Contoh masalah susunan gigi yang tidak teratur


Mengapa Gigi Menjadi Tidak Teratur?

Masalah gigi tidak teratur mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
  • Faktor keturunan
  • Saiz tulang rahang dan gigi yang tidak seimbang
  • Bentuk gigi yang tidak normal
  • Kehilangan awal gigi susu atau gigi kekal
  • Tabiat yang tidak baik seperti menghisap jari atau puting tiruan
Puting tiruan

Tabiat menghisap jari

Bilakah Rawatan Ortodontik Boleh Dimulakan

Rawatan ortodontik boleh dipertimbangkan sebaik sahaja masalah susunan gigi dikesan.

Kebanyakan masalah ini lebih mudah dirawat jika dikenalpasti lebih awal.


Rawatan Ortodontik Mungkin Melibatkan:
  • Cabutan beberapa batang gigi jika perlu
  • Pemakaian aplians ortodontik tetap atau yang boleh tanggal
  • Rasa tidak selesa atau sakit semasa pemakaian aplians
Aplians ortodontik tetap

Aplians ortodontik boleh tanggal

Berapa Lama Anda Perlu Memakai Aplians Ortodontik?

Jangka masa rawatan berkait rapat dengan kerumitan masalah susunan gigi yang dialami dan kerjasama pesakit. Purata tempoh rawatan adalah selama lebih kurang dua tahun.


Di Manakah Rawatan Ortodontik Boleh Diperolehi?

Beberapa klinik pergigian kerajaan dan swasta ada menyediakan rawatan ortodontik. Dapatkan pemeriksaan di mana-mana klinik pergigian berhampiran. Doktor pergigian akan merujuk anda ke Pakar Ortodontik sekiranya didapati anda memerlukan rawatan tersebut.

Di perkhidmatan kerajaan, keutamaan diberikan kepada murid-murid sekolah di bawah 18 tahun.

Di Negeri Sembilan, rawatan kepakaran ortodontik ada disediakan di beberapa klinik, antaranya Pusat Pakar Pergigian, Klinik Pergigian Senawang, Klinik Pergigian Seremban 2, Klinik Pergigian Port Dickson, dan Klinik Pergigian Tampin. Untuk mendapatkan rawatan kepakaran ini, anda perlu berjumpa dengan doktor pergigian dan mendapatkan rujukan terlebih dahulu.


Apakah Kesan Sampingan Rawatan Ortodontik?

Sekiranya penjagaan kesihatan pergigian dan arahan pemakaian aplians ortodontik diabaikan, anda mungkin mengalami kesan sampingan berikut :
  • Kerosakan gigi
  • Penyakit gusi
  • Gigi kembali tidak teratur 
Untuk mengurangkan kesan sampingan tersebut, pastikan anda mematuhi arahan yang diberi, jaga kebersihan gigi dan pakai aplians dengan baik.
  • Tepati temujanji yang telah diberikan
  • Ikut nasihat oleh Pakar Ortodontik 


 *Untuk pertanyaan lebih lanjut tentang rawatan ini di klinik kerajaan, anda dialu-alukan untuk pergi ke klinik-klinik kerajaan berhampiran atau hubungi kami. Direktori dan senarai klinik mengikut daerah boleh dicapai di sini.

Sumber :
Pamplet 'Rawatan Ortodontik' terbitan BKP KKM

Wednesday, 4 June 2014

Pembantu Pembedahan Pergigian

Sekiranya anda mempunyai perwatakan yang cergas, bersopan, penyabar, prihatin dan berupaya berkomunikasi dengan baik, anda dipelawa untuk menyertai kerjaya sebagai Pembantu Pembedahan Pergigian


Deskripsi Tugas
  • Menyambut dan mendaftar pesakit-pesakit di kaunter pendaftaran
  • Menguruskan data pesakit secara berkomputer
  • Membantu Pakar Pergigian, Pegawai Pergigian dan Jururawat Pergigian dalam mengurus dan memberi rawatan kepada pesakit
  • Menyediakan segala peralatan yang diperlukan untuk rawatan pergigian
  • Bertanggungjawab dalam pengawalan jangkitan silang di bilik rawatan
  • Mendaftar serta merekod hal-hal kewangan, sijil sakit dan penerangan kepada pesakit
  • Mengutip wang bayaran rawatan pergigian dari pesakit serta mengeluarkan resit
  • Membantu Pegawai Pergigian dan Jururawat Pergigian semasa lawatan ke sekolah-sekolah
  • Menempah serta merekod alat-alat kelengkapan, memeriksa inventori dan lain-lain perkakasan seperti troli dan mesin
  • Menyediakan penyata bulanan dan geraf
  • Menyediakan bahan-bahan pendidikan kesihatan pergigian


Kelayakan
  • Warganegara Malaysia
  • Jantina : Lelaki dan Perempuan
  • Umur :
    • Calon lantikan hendaklah berumur tidak kurang dari 17 tahun tetapi tidak melebihi 25 tahun pada tarikh tutup permohonan
    • Pegawai sedang berkhidmat (bukan Kenaikan Pangkat Secara Latihan) dalam Perkhidmatan Awam/Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah disahkan dalam perkhidmatan hendaklah berumur tidak melebihi 38 tahun pada tarikh tutup permohonan
  • Kelulusan : 
    • Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR)/Sijil Rendah Pelajaran atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan 
    • Lulus Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu peringkat Penilaian Menengah Rendah/Sijil Rendah Pelajaran atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan 
    • Keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat Kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu dan Sains/Sains Paduan serta lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik; dan 
    • Mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta tidak mengalami kecacatan yang boleh menyebabkan calon tidak sesuai menjalankan tugas selepas tamat latihan
  • Syarat Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) : 
    • Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Atendan Kesihatan/Pembantu Perawatan Kesihatan adalah layak dipertimbangkan secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan untuk mengikuti Latihan Pembantu Pembedahan Pergigian apabila telah disahkan dalam perkhidmatan 
    • Mempunyai kelulusan seperti di atas 
    • Berumur kurang dari 51 tahun pada tarikh permohonan


Tempat Latihan
  • Sektor Awam : Kolej Latihan Pergigian Malaysia, Pulau Pinang
  • Sektor Swasta : 
    •  Universiti MAHSA 
    •  Kolej Universiti SEGI


Cara Memohon

Sesi pengambilan bagi Latihan Pembantu Pembedahan Pergigian (Separa Perubatan) dijalankan 2 kali setahun (sesi kemasukan Januari dan Julai)

Permohonan untuk memasuki perkhidmatan awam persekutuan hendaklah dibuat secara online di Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia iaitu www.spa.gov.my di Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i).


Elaun dan Biasiswa*

Biasiswa bulanan :RM755.06 sebulan

Penginapan, pakaian seragam dan kasut juga disediakan

(*tertakluk kepada perubahan semasa)


Struktur Latihan

Tempoh Latihan : 2 tahun (4 semester)


Peluang Pekerjaan

Pelatih yang tamat latihan dengan jayanya akan dianugerahkan Sijil Kelayakan Pembantu Pembedahan Pergigian dan diperakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk dilantik ke jawatan Pembantu Pembedahan  Pergigian Gred U17
  • Wajib berkhidmat dengan kerajaan selama 5 tahun (bagi tajaan kerajaan)
  • Peluang pekerjaan ini juga terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Awam / Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan sektor swasta
  • Pelatih yang tidak terikat dengan kerajaan boleh berkhidmat dengan mana-mana hospital/klinik swasta.
  • Gaji permulaan (sektor awam) : RM975.00
  • Elaun (sektor awam) : 
    • Imbuhan tetap khidmat awam : dari RM115.00 
    • Imbuhan tetap perumahan : RM180.00 
    • Bantuan sara hidup mengikut tempat bertugas
(Tertakluk kepada perubahan semasa. Sila layari laman web http://www.jpa.gov.my untuk maklumat terkini)


Prospek Kerjaya

Pembantu Pembedahan Pergigian terlatih Gred U17 yang telah disahkan dalam jawatan dan telah berkhidmat selama 3 tahun layak memohon :
  • Kenaikan pangkat Gred U22, U24 (tertakluk kepada perubahan dan prestasi)
  • Mengikuti kursus Diploma Kejururawatan Pergigian atau Juruteknologi Pergigian Gred U29 melalui Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL)

Sumber: