Thursday, 8 August 2013

"Doktor, FLOS itu apa???"

Sepanjang kerjaya saya sebagai doktor gigi selama 5 tahun, pelbagai komen dan pertanyaan pesakit telah saya dengari. Akan tetapi, antara komen pesakit yang agak mengejutkan adalah "Doktor, flos tu apa?"
 

Soalan pesakit tersebut telah mengejutkan saya dari lamunan yang panjang. Rupa-rupanya rutin pembersihan gigi di kalangan rakyat Malaysia masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan. Kebanyakan dari rakyat Malaysia (saya berani mengatakan lebih dari separuh) tidak pernah memflos gigi mereka, malahan ada yang tidak pernah mendengar istilah 'flos'. Jika ada yang tahu, kebanyakan dari mereka hanya memflos gigi jika ada makanan terselit di celah-celah gigi sahaja.
Soalnya sekarang, mengapakah situasi ini wujud di negara kita? Jika kita lihat situasi di negara-negara maju, pemflosan gigi merupakan rutin harian yang dilakukan ketika membersihkan gigi selain dari memberus gigi. Malahan amalan memflos gigi telah didedahkan sejak dari tadika lagi.
Di negara ini, banyak cabaran yang perlu kami, warga pergigian hadapi untuk meningkatkan promosi kesihatan pergigian kepada orang awam.
Ramai yang masih tidak memahami kepentingan amalan flos gigi, Saya sering menasihati pesakit-pesakit saya "Puan, flos gigi ni penting. Kalau kita hanya berus gigi tanpa flos gigi, saya boleh ibaratkan sama seperti kita mandi, tetapi hanya mandi badan. Kaki dan tangan tidak dibersihkan langsung. Kalau mandi begitu, bersih tak?" Bila diberi perbandingan begitu, kebiasaannya pesakit lebih mudah memahami dan membayangkan kepentingan flos gigi ini,
Selain itu, saya akan menunjukkan model karies gigi (karies interproksimal) kepada pesakit. "Cuba encik lihat, bahagian di antara 2 gigi rapat kan? Bahagian inilah yang mudah terjadi karies kerana ruang tersebut tidak dapat dibersihkan oleh berus gigi. Jadi kita perlu flos untuk membersihkan ruang-ruang ini." Dengan bantuan model karies gigi tersebut, pesakit lebih mudah memahami penjelasan saya. 
Antara cabaran yang dihadapi oleh pesakit pula ialah memahirkan diri dengan teknik flos yang betul. Ya, saya mengakui, flos gigi agak sukar sedikit terutaman kepada orang yang baru hendak belajar flos. Tetapi, alah bias tegal biasa! Jadikan flos ini satu rutin harian, lama kelamaan flos akan menjadi mudah semudah memberus gigi. Di pasaran kini juga terdapat pelbagai jenis flos. Selain flos biasa, terdapat flos bertangkai yang memudahkan kita memflos gigi.
Untuk rujukan anda semua, saya sertakan satu teknik flos bergambar (sumber dari poster Unit Promosi Daerah Seremban). Teknik yang ditunjukkan dalam gambar tersebut merupakan teknik yang disarankan dari beberapa teknik yang wujud.

Selamat Mencuba! =)