Wednesday, 18 December 2013

Kempen Anti Merokok...


Salam 1 Malaysia

Sebagai penutup tahun ini, tahun 2013 yang menyaksikan penubuhan Blog Rasmi Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan, kami ingin berkongsi bersama anda semua beberapa iklan Anti Merokok yang mendapat perhatian seluruh dunia... Iklan-iklan dalam bentuk video, poster dan lukisan ini merupakan idea-idea yang kreatif bertujuan tidak lain dan tidak bukan, untuk memberi kesedaran kepada perokok-perokok di luar sana untuk berhenti sejenak dan berfikir akan keburukan merokok dan kesannya kepada diri sendiri dan orang tersayang....

                         

Iklan dari Thailand yang menjadi 'viral' seluruh dunia



Iklan Anti Merokok di atas jalan raya menunjukkan "Jumlah tar di dalam paru-paru anda setelah merokok selama 2 tahun"

Iklan Anti Merokok pada bas awam menunjukkan perokok yang menghembuskan asap kenderaan dari mulutnya.


Iklan menunjukkan merokok juga memberi kesan buruk kepada kanak-kanak yang menghidu asap rokok.

Iklan menunjukkan kanak-kanak diselubungi asap rokok.

Seni dinding pada siling ruang merokok - menunjukkan perokok-perokok di ruang tersebut berada di dalam kubur.



Sumber

Wednesday, 11 December 2013

Berhenti Merokok Lebih Mudah Jika Anda Tahu Caranya...


INFOLINE BERHENTI MEROKOK
03 - 8883 4400

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan perkhidmatan talian bantuan untuk membantu perokok berhenti merokok bermula Januari 2007. Talian bantuan ini dikenali sebagai Infoline Berhenti Merokok dan menggunakan nombor 03-88834400. Ia beroperasi setiap hari pada waktu bekerja. Setiap panggilan di luar waktu pejabat akan direkodkan dan pemanggil akan dihubungi semula dalam tempoh 24 jam hari bekerja. Infoline Berhenti Merokok dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Waktu Operasi
8.00 pagi - 5.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat (hari bekerja sahaja)

Perkhidmatan Yang Ditawarkan
  1. Khidmat nasihat berhenti merokok
  2. Tip berhenti merokok
  3. Khidmat Klinik Berhenti Merokok

 
Infoline Berhenti Merokok sedia membantu anda, keluarga dan rakan-rakan anda untuk berhenti merokok.


Hubungi Infoline Berhenti Merokok Hari Ini Juga
Pegawai-pegawai Sedia Membantu Anda 



Sumber
Pamplet 'Infoline Berhenti Merokok', Bahagian Kesihatan Pergigian, KKM

Wednesday, 4 December 2013

Jauhi Tabiat Merokok

Kandungan Berbahaya Di Dalam Rokok

Source: Dept of Public Health, State of Connecticut


Kesan Dari Tabiat Merokok

Umum mengetahui bahawa merokok boleh mengakibatkan  kanser paru-paru dan penyakit jantung tetapi...



Selain daripada nafas berbau dan gigi berwarna kuning kehitaman, merokok boleh mengakibatkan:
  • Penyakit gusi dan kehilangan gigi
  • Kanser mulut 
  • Kekurangan deria rasa dan bau-
  • makanan menjadi kurang menyelerakan 
  • Luka mulut mengambil masa yang lama untuk sembuh
  • Berisiko melahirkan anak yang sumbing lelangit / bibir

Gigi berwarna kuning kehitaman

Penyakit gusi akibat merokok



Kanser mulut



Kesan Baik Setelah Berhenti Merokok

Kesihatan boleh dipulihkan kembali sekiranya anda berhenti merokok.

Source: American Lung Association



Sumber
Pamplet 'Kekalkan Kesihatan dan Senyuman Anda', BKP KKM

Wednesday, 20 November 2013

"Sayangi Gusi Anda"

Penyakit periodontium atau penyakit gusi merupakan punca utama kehilangan gigi dikalangan orang dewasa. Penyakit ini merupakan jangkitan pada gusi, tulang alveolar dan struktur penyokong gigi. Punca utama penyakit periodontium ialah plak, suatu lapisan nipis mengandungi bakteria yang melekat pada permukaan gigi. Penyakit ini juga berkait rapat dengan perubahan tahap hormon semasa remaja, kehamilan atau menopos, penyakit diabetes dan tabiat merokok. 

Gusi sihat

Penyakit gusi



Antara tanda dan gejala penyakit periodontium:
  •  Gusi merah, bengkak dan mudah berdarah
  •  Mulut berbau
  • Gigi menjadi longgar dan jarang
  • Gusi menyusut dan gigi kelihatan memanjang
  • Nanah pada bahagian gusi

Langkah-langkah yang perlu kita lakukan untuk mencegah dari mendapat penyakit gusi ini adalah :
  • Berus gigi sehingga bersih dengan teknik yang betul
  • Gunakan flos untuk membersihkan celah-celah gigi
  • Gunakan berus interdental (atas arahan doktor)
  • Dapatkan pemeriksaan kesihatan mulut (oral health exmaination) sekurang-kurangnya sekali setahun
  • Jauhi amalan merokok

Menyedari akan kepentingan kesedaran tentang penyakit gusi ini, pada hari Isnin, 18 November 2013, satu Kempen Promosi Kesihatan Periodontium (Gusi) Peringkat Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus telah diadakan di Dewan Pavillion, Pusat Keluarga LPPKN di Seremban 2.  Aktiviti anjuran bersama Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan dan Persatuan Periodontologi Malaysia itu bertujuan mendedahkan kepada orang ramai tentang kepentingan penjagaan gusi.




Perasmian kempen disempurnakan oleh Dato' Dr.Hajah Zailan Binti Dato' Haji Adnan,
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan

Pengunjung yang hadir menjayakan Kempen "Sayangi Gusi Anda"



Persembahan Koir oleh Kumpulan Koir Daerah Seremban
 
Persembahan Tarian oleh anggota pergigian daerah Seremban



Kempen ini merangkumi ceramah Kesihatan Periodontium oleh Pakar Periodontik dari Seremban, pameran kesihatan, serta pemeriksaan gusi di Klinik Pergigian Bergerak. Table Clinic juga disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan khidmat nasihat secara terus daripada Pakar Periodontik yang terdiri daripada Dr Ahmad Sharifuddin B Asari, Dr Uma a/p Subramaniam dan Dr Renukanth a/l Patabi Cheta Raman.

Ceramah Kesihatan Periodontium oleh Pakar Periodontik dari Pusat Pakar Pergigian Seremban

Pasukan pameran kesihatan pergigian dari Unit Promosi Daerah Seremban

Pemeriksaan Gusi di Klinik Pergigian Bergerak

Pemeriksaan Gusi
  

Pelbagai aktiviti dan pertandingan juga telah dilangsungkan bersempena kempen ini. Di antaranya adalah Pertandingan Mencipta Pelekat Kereta, Pertandingan Melukis Poster, dan Pertandingan Gubahan Pengantin bertemakan Bahan-bahan Penjagaan Kesihatan.

Senarai pemenang Pertandingan Mencipta Pelekat Kereta dan Pertandingan Melukis Poster

Pertandingan Gubahan Pengantin bertemakan 'Barangan Penjagaan Kesihatan'


Setiap peserta juga diberi cenderahati berupa pelekat kereta yang membawa mesej 'Sayangi Gusi Anda' serta magnet edisi terhad yang ditempah khas bersempena kempen ini.


Aktiviti yang meriah dan penuh makna ini turut mendapat liputan meluas dari akhbar-akhbar tempatan. 

Berita Harian
 
Nanyang Siang Pau

Sinar Harian

China Press

 Syabas dan tahniah kepada semua warga kerja dan pengunjung yang menjayakan kempen tersebut! ^_^