Wednesday, 23 October 2013

6 Langkah Mudah Pemeriksaan Mulut Sendiri untuk Mengesan Kanser Mulut



Langkah 1 

Berdiri di hadapan cermin di bawah cahaya yang terang.

Tanggalkan gigi palsu, sekiranya ada.

Periksa muka dan leher anda untuk mengesan tanda bengkak, luka atau perubahan warna. Tekan bahagian leher untuk mengesan rasa sakit atau benjolan.


Langkah 2 

Periksa bibir anda dengan teliti untuk mengesan sebarang perubahan warna, rupa (tekstur) dan kelainan pada permukaan dalam mulut.

Tarik bibir atas dan periksa untuk mengesan pecah mulut (ulser) atau perubahan warna.

Ulangi untuk bibir bawah


Langkah 3

Tarik pipi kanan dan periksa bahagian dalam pipi secara menyeluruh.

Letakkan jari telunjuk di bahagian dalam pipi dan ibu jari di luar pipi. Picit perlahan-lahan untuk mengesan sebarang kelainan.

Ulangi untuk pipi kiri.


Langkah 4 

Dongak kepala, buka mulut dan periksa bahagian lelangit. Perhatikan sebarang perubahan warna atau benjolan.


Langkah 5 

Letakkan hujung lidah di bahagian tengah lelangit. Periksa lantai mulut dan bahagian bawah lidah.


Langkah 6 

Keluarkan lidah, perhatikan sebarang perubahan warna dan tekstur di bawah lidah.

Periksa dan tekan bahagian bawah lidah untuk mengesan sebarang benjolan. Juga perhatikan tepi kanan, tepi kiri dan hujung lidah.


Untuk menerangkan dengan lebih jelas lagi langkah-langkah tersebut, saksikanlah multimedia demonstrasi pemeriksaan mulut sendiri ini.




Anda juga boleh memuat turun risalah 'Langkah Pemeriksaan Mulut Sendiri' di pautan berikut:



Sumber :

Wednesday, 9 October 2013

Kanser Mulut


Kanser pada lidah

Kanser pada rahang bawah

Kanser mulut adalah satu keadaan di mana sel-sel dari tisu bahagian mulut tumbuh secara tidak normal. Bahagian yang terlibat mungkin mengalami kelainan seperti kebengkakan, ulser dan perubahan warna.


Pengesanan Awal

Perhatikan tanda-tanda berikut semasa memeriksa mulut sendiri
  • Ulser dalam mulut yang tidak sembuh selepas dua minggu
  • Tompok-tompok putih, merah atau putih bercampur merah di dalam mulut
  • Pendarahan yang berlaku dengan tiba-tiba di dalam mulut
  • Gigi yang goyang
  • Kesakitan atau susah menelan
  • Gigi palsu yang tiba-tiba terasa ketat atau susah dipakai
  • Bengkak pada lelangit, rahang atas atau rahang bawah
  • Kemunculan benjolan atau bengkak pada bahagian bawah dagu atau leher
  • Kebas pada bibir, dagu atau pipi

Tompok putih pada lidah

Tompok merah di dalam mulut

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda tersebut, berjumpalah doktor pergigian dengan segera untuk memastikan ia bukan kanser mulut.


Kanser mulut berkait rapat dengan tabiat dan amalan tertentu…

Oleh itu, elakkan tabiat-tabiat berikut :
  • Penggunaan semua jenis produk tembakau seperti rokok, cerut, songel tembakau dan shisha
  • Pengunyahan atau menyentil sirih pinang (yang selalunya mengandungi kapur, gambir, kadangkala tembakau dan rempah-rempah lain)
  • Pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan
  • Terdedah kepada pancaran sinaran matahari secara berlebihan
Tabiat menghisap rokok berbahaya


Amalan mengunyah sirih salah satu faktor kanser mulut

Menghisap shisha boleh menyebabkan kanser mulut



Amalkan pemakanan dan cara hidup sihat
  • Periksa mulut sendiri dari masa ke semasa bagi mengesan tanda-tanda awal perubahan tisu-tisu mulut
  • Jaga kebersihan gigi dan mulut. Berjumpalah doktor pergigian untuk mendapatkan pemeriksaan secara berkala.
  • Pastikan diet harian anda mengandungi serat yang tinggi. Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Elakkan pendedahan berlebihan kepada pancaran matahari.
Pengambilan diet tinggi serat baik untuk kesihatan


Kanser mulut dan tabiat merokok

Berhenti merokok melebih dari 3 tahun boleh mengurangkan risiko kanser mulut sebanyak 50%.

Katakan TIDAK! pada rokok



Sumber :
Pamplet Kanser Mulut Cawangan Penggalakan Kesihatan Pergigian

Thursday, 19 September 2013

Multimedia Rawatan Restoratif

Saksikanlah multimedia tentang rawatan-rawatan restoratif olahan Kumpulan Crown Bertingkek-tingkek dari Perkhidmatan Kesihatan Pergigian Daerah Jelebu...


Thursday, 5 September 2013

Gigiku sudah rongak...


Apabila gigi kekal terpaksa dicabut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tidak akan ada gigi baru yang tumbuh menggantikan gigi tersebut. Kesannya - mengunyah makanan semakin sukar, menyebut sesetengah perkataan menjadi satu cabaran, dan wajah yang kacak dahulu sudah hilang kehensemannya...



Jangan risau, jangan merana...kerana kami ada jawapannya. Di antara rawatan yang disediakan di klinik pergigian kerajaan untuk menggantikan gigi yang telah dicabut adalah gigi palsu. Atau seperti yang disebut oleh sesetengah pesakit - gigi bohong (gigi pun pandai berbohong ya... :-) )

Sebelum saya memulakan pengajian dalam bidang pergigian satu masa dahulu, persepsi saya bahawa gigi palsu ni adalah sesuatu yang kita boleh beli di farmasi seperti kita membeli ubat-ubatan (over-the counter). Setelah mempelajari dengan lebih mendalam, rupa-rupanya proses pembuatan gigi palsu ini sebenarnya bukan mudah. Selain melibatkan banyak peringkat (yang memerlukan pesakit datang ke klinik beberapa kali), ia juga melibatkan kerjasama tenaga kerja lebih dari seorang - doktor gigi untuk proses dalam klinik, dan juruteknologi pergigian untuk proses di dalam makmal.

Setiap gigi palsu dibuat khas dengan teliti untuk pesakit tersebut (custom made) untuk menjamin keselesaan pesakit itu sendiri.

Jadi, selepas ini tuan-tuan boleh memahami mengapa tuan-tuan atau ahli keluarga tuan perlu datang beberapa kali ke klinik gigi sehingga gigi palsu siap. 
 
Sebagai rujukan, tuan-tuan boleh merujuk kepada carta ringkas di bawah tentang proses-proses pembuatan gigi palsu.

(* kredit gambar kepada Unit Promosi Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Seremban)

Selain gigi palsu, terdapat banyak lagi rawatan alternatif lain untuk menggantikan gigi yang telah tiada. Rawatan-rawatan tersebut serta teknik penjagaan gigi palsu akan kami kupaskan lagi dalam post-post yang akan datang..

So stay tuned... ^_^v